Surah al-fatihah penawar segala penyakit
Hadrat Abd ul-Malik bin Umar r.a meriwayatkan secara mursal bahawa Rasulullah saw bersabda. ‘Dalam surah al-Fatihah terdapat penawar untuk segala penyakit.” (Hadis riwayat Darimi dan Baihaqi)
Keterangan
Kelebihan-kelebihan surah al-Fatihah terdapat dalam banyak hadis. Dalam satu riwayat dinyatakan bahawa seorang sahabat sedang mengerjakan solah sunat. Rasulullah saw telah memanggilnya. Oleh kerana beliau sedang bersolah maka beliau tidak menyahut. Setelah menyempurnakan solah, beliau pun pergi menemui Rasulullah saw, maka baginda saw bertanya, “kenapa kamu tidak menjawab panggilan ku?” beliau telah memberi alasan bahawa pada ketika itu beliau sedang bersolah. Rasulullah saw bertanya,”Adakah kamu tidak membaca ayat al-Quran?”
يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ
“Wahai orang yang beriman sahutlah pangggilan Allah swt dan rasul-nya apabila mereka memanggil.” (al-Anfal: 24)
Seterusnya Rasulullah saw bersabda, ” Saya ingin memberitahu kamu satu surah yang paling afdal dalam al-Quran. Surah itu adalah surah al-Hamd (al-Fatihah) yang mempunyai tujuh ayat. Ayat-ayat ini adalah Sab Masani dan mewakili keseluruhan al-Quran yang agung.” telah diriwayatkan oleh sesetengah ahli sufi bahawa segala yang terkandung dalam kitab-kitab Allah swt yang terdahulu terdapat dalam al-Quran dan segala isi kandungan al-Quran terdapat dalam surah al-Fatihah dan apa-apa terkandung dalam dalam surah al-Fatihah terdapat dalam Bismillah dan apa-apa yang terkandung dalam bismillah adalah terdapat pada huruf pertama iaitu ‘ب’ (ba). Diterangkan dalam tafsiran bahawa huruf ‘ب’ (ba) disini bertugas sebagai penemu, iaitu huruf ‘ب’ (ba) memutuskan hubungan seseorang hamba dengan segala perkara lain dan menemukannya dengan Allah swt. Sebahagian ulama menambah lagi keterangan ini dengan pendapat bahawa apa-apa yang terdapat dalam huruf ‘ب’ (ba) terkandung dalam titik pada ‘ب’ (ba) itu, yakni titik wahdaniyah. Dalam istilah tasawwuf, titik wahdaniyah membawa makna sesuatu yang tidak boleh dibahagi-bahagikan lagi.
Sesetengah ulama telah dinukilkan berkata bahawa dalam ayat
terkandung segala hajat dunia mahupun agama. Rasulullah saw diberitakan telah bersabda dalam satu hadis, ” Demi zat yang nyawaku dalam genggaman-Nya, tidak ada satu surah pun yang seumpama ini pernah diturunkan sama ada dalam Taurat, Injil, Zabur atau bahagian yang lain dalam al-Quran”
Para masyaikh mengatakan bahawa membaca surah al-Fatihah dengan penuh kepercayaan dan keyakinan akan menyembuhkan segala penyakit, sama ada penyakit rohani atau jasmani, penyakit zahir atau penyakit batin. Al-Fatihah yang ditulis dan dijadikan sebagai tangkal dan juga menjilat al-Fatihah yang ditulis adalah berfaedah bagi mengubati penyakit. Terdapat dalam kitab ‘sihah’ (kitab-kitab hadis yang sahih) bahawa para sahabat r.a pernah membaca surah al-Fatihah dan menghembuskan ke atas orang yang dipatuk ular atau disengat kalajengking, orang yang terkena sawan dan orang gila dan Rasulullah saw sendiri mengharuskan perbuatan ini.
Dalam satu riwayat diberitakan bahawa Rasulullah saw pernah membaca surah ini lalu menghembuskan kepada sayyidina Sa’ib bin Yazid r.a dan Baginda saw membaca dan menyapu dengan air liurnya pada tempat sakit itu. Menurut Hadis yang lain dikatakan bahawa sesiapa yang berbaring dengan niat tidur dan membaca surah al-Fatihah serta surah al-Ikhlas kemudian menghembus ke atas dirinya sendiri maka dia akan dijauhkan daripada segala bahaya melainkan maut.
Menurut riwayat yang lain, surah al-Fatihah menyamai pahala membaca dua pertiga daripada al-Quran. Diriwayatkan juga bahawa Rasulullah saw bersabda, “Daku telah diberi empat perkara daripada khazanah ‘Arasy’ yang istimewa. Sebelum ini tiada sesiapa pun yang menerima apa-apa daripada khazanah tersebut.
1) surah al-Fatihah,
2) ayat Kursi,
3) ayat-ayat akhir daripada surah al-Baqarah dan,
4) surah al-Kausar.”
Hadrat Hasan Basri r.h meriwayatkan satu sabdaan Rasulullah saw yang berbunyi, “Seorang yang membaca surah al-Fatihah adalah seumpama seorang yang membaca kitab Taurat, Injil, Zabur dan al-Quran yang mulia.”
Adalah diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa Iblis meraung-raung sambil melumur seluruh kepalanya dengan debu apabila berlaku empat peristiwa: pertama apabila dia dilaknat, kedua apabila dia dicampak keluar dari syurga ke dunia, ketiga apabila Nabi Muhammad saw dianugerahkan dengan kenabian dan keempat apabila surah al-Fatihah diturunkan.
Diberitakan daripada Hadrat Sya’bi r.h, bahawa pada satu ketika seorang datang kepadanya dan mengadu tentang buah pinggang nya yang sakit. Hadrat Sya’bi r.h menasihatinya supaya membaca surah Asas al-Quran dan menghembuskan pada tempat yang sakit. apabila ditanya makna Asas al-Quran? Hadrat Sya’bi r.h menjawab, “surah al-Fatihah.” Ditulis bahwa antara amalan para masyaikh yang mujarab ialah surah al-Fatihah dan surah ini juga sebagai ism ul-A’zam yang sepatutnya dibaca untuk memohon apa-apa hajat. Terdapat dua cara pembacaan surah al-Fatihah.
Pertama, membaca surah al-Fatihah di antara solah sunat dan solah fardu subuh sebanyak empat puluh satu kali (41 x) selama empat puluh (40) hari. Huruf ‘م’ (mim) dalam Bismillah hendaklah dibaca bersambung dengan ‘ل’ (lam) dalam Alhamdulillah. Segala hajat insya Allah akan tertunai. Sekiranya menghadapi apa-apa penyakit atau terkena sihir hendaklah membaca surah ini dan menghembuskan ke dalam air lalu diminum.
Cara kedua ialah dengan membaca surah ini sebanyak tujuh kali (70 x) di antara solah sunat dan fardu subuh pada hari Ahad yang pertama pada permulaan bulan Islam. Pembacaan cara ini tidak perlu disambung ‘م’ (mim) Bismillah dengan ‘ل’ (lam) Alhamdulillah. Selepas itu perlu dibaca pada waktu yang sama dengan bilangan bacaan dikurangkan sebanyak sepujuh kali (10 x) pada setiap hari sehingga hari ketujuh. Sekiranya hajat seseorang telah tertunai pada bulan pertama maka bertuahlah orang itu. Sekiranya tidak maka hendaklah diulangi dengan melakukan amalan yang sama pada bulan kedua dan ketiga.
Surah ini juga ditulis pada pinggan tembikar dengan menggunakan air mawar yang dicampur kasturi atau za’faran (koma-koma), kemudian tulisan itu dilarutkan dengan air lalu diminum oleh pesakit selama empat puluh hari (40). Ini adalah cara pengubatan yang mujarab kepada seorang pesakit yang telah lama menderita suatu penyakit.
Membaca surah ini sebanyak tujuh kali (7 x) dan menghembuskan kepada pesakit juga merupakan salah satu cara pengubatan bagi sakit gigi, pening kepala dan sakit perut. (Semua perkara ini secara ringkasnya dipetik daripada kitab Mazahir ul-Haq.)
Dalam kitab Sahih Muslim terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Sayyidina ‘Abdullah bin Abbas r.a bahwa pada suatu ketika Rasulullah saw sedang duduk bersama kami. Baginda saw bersabda, “Di langit telah dibukakan satu pintu yang belum pernah dibuka sebelum ini. Dari pintu itu turun satu malaikat yang belum pernah diturunkan sebelum ini. Malaikat itu berkata kepada ku, “Terimalah satu berita gembira mengenai dua nur yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum ini, pertama ialah surah al-Fatihah dan kedua ialah tiga ayat terakhir daripada surah al-Baqarah.” Kedua-dua ini disebut sebagai nur kerana pada hari kiamat kedua-dua ini akan berada di hadapan pembaca ayat-ayat itu (menerangi jalan mereka.)
No comments:
Post a Comment