Saturday, 10 November 2018

(Surah al-Jin: 6)

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-189 : HUKUM BERUBAT DENGAN PERAWAT ISLAM DAN MEMINTA PERTOLONGAN JIN
IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-189 : HUKUM BERUBAT DENGAN PERAWAT ISLAM DAN MEMINTA PERTOLONGAN JIN



Soalan:

Apakah hukum berubat dengan “perawat Islam” dan hukum meminta pertolongan dengan jin?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Nabi SAW.

Isu yang pertama kami cuba bawakan pandangan-pandangan ulama yang berkaitan dengan ruang lingkup perawatan bagi “perawat Islam”. Dalam konteks perubatan alternatif di Malaysia perawat Islam lebih dikenali sebagai seorang yang mengamalkan ruqyah dan terlibat dengan perubatan alternatif atau komplementatif iaitu pelengkap kepada perubatan moden.

Syeikh Jibrin dalam Fatawanya daripada kitab al-Lu’lu al-Makin menyebut:

“Sebenarnya dibolehkan menggunakan ruqyah bagi sesiapa yang baik bacaannya, memahami maknanya, mempunyai akidah yang betul dan melakukan amal perbuatan yang baik serta mempunyai peribadi yang baik. Tidak disyaratkan kepada penjampi (perawat) untuk mengetahui semua permasalahan furu’ (cabang) di dalam masalah agama dan mempelajari ilmu secara mendalam. Hal ini berdasarkan kisah Abu Said yang menjampi orang yang telah sesat disengat binatang berbisa. Beliau berkata: “Kami tidak pernah mengetahui (surah al-Fatihah) sebagai ayat untuk menjampi atau seperti yang termaktub di dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim. Orang yang menjampi mestilah mempunyai niat yang baik dan bertujuan untuk memberikan manfaat kepada orang Islam serta tidak bercita-cita untuk memperolehi harta dan ganjaran agar jampi yang dibaca itu lebih berkesan.” Lihat al-Lu’lu al-Makin (22).

Adapun jika perawat Islam melakukan proses perubatan dengan menjampi pesakit seperti ruqyah atau sebagainya, maka perlulah menuruti syarat-syarat dalam menjampi. Ini kerana untuk membezakan antara ruqyah yang menepati sunnah dengan ruqyah yang bercanggah dengan sunnah:

Kami bawakan di sini tiga syarat yang disebut oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya al-Fath al-Bari, Antaranya menyebut:

“Para ulama telah sepakat tentang kebolehan membuat rawatan jika mengikuti tiga syarat ini:

Ruqyah hendaklah dilakukan dengan menggunakan firman Allah SWT atau dengan nama-nama dan sifat-sifat-
Ruqyah hendaklah dilakukan dengan menggunakan bahasa arab atau sesuatu bahasa selain bahasa arab yang difahami maknanya.
Menyakini bahawa ruqyah itu tidak memberikan pengaruh dengan sendirinya tetapi hanyalah dengan izin Allah SWT.
Lihat al-Fath al-Bari (10/240)

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah ada menyebut di dalam kitabnya Majmu’ al-Fatawa:

“Adapun mengubati orang yang dirasuk jin dengan menggunakan ruqyah dan memohon perlindungan diri kepada Allah SWT hendaklah memiliki dua perkara ini:

Jika ruqyah dan permohonan perlindungan diri ini difahami maknanya, atau merupakan kalimah-kalimah yang dibolehkan dalam Islam, atau berupa doa dan zikir kepada Allah SWT, maka ruqyah tersebut boleh dilakukan. Jika demikian keadaannya, maka boleh membuat rawatan terhadap orang yang dirasuk dan memohon perlindungan diri kepada Allah SWT.
Dalam hadis sahih yang berasal daripada Nabi SAW disebutkan bahawa Nabi SAW membolehkan untuk meruqyah selama mana ianya tidak mengandungi amalan syirik. Baginda SAW juga bersabda: “Sesiapa di antara kamu yang mampu memberi manfaat kepada saudaranya maka lakukanlah.”

Jika dalam membuat rawatan itu terdapat ungkapan-ungkapan yang diharamkan seperti ungkapan yang mengandungi amalan syirik atau tidak diketahui maknanya dan berkemungkinan mengandungi kekufuran, maka tidak harus membuat rawatan dengannya, tidak boleh berkeinginan dan tidak boleh pula bersumpah untuk menggunakan kalimah tersebut walaupun kadang-kadang dengan menggunakan kalimah tersebut dapat menghalau jin keluar dari tubuh orang yang dirasuk. Ini kerana apa-apa yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya lebih besar mudaratnya berbanding manfaatnya.
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah juga berkata sebagaimana yang disebut di dalam kitabnya Majmu’ al-Fatawa (19/13): “Oleh itu, para ulama kaum muslimin melarang membuat rawatan dengan sesuatu yang tidak diketahui maknanya kerana ia dapat menjadi punca terjatuhnya seseorang ke dalam lembah amalan syirik walaupun pengruqyah (perawat) tidak menyedarinya.”

Imam al-Nawawi juga ada menyebut di dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim (14/141-142):

“Hendaklah meninggalkan ruqyah jika ruqyah yang dibaca berasal daripada ucapan-ucapan orang kafir, membuat rawatan dengan kalimah-kalimah asing, merawat dengan bacaan selain bahasa arab yang tidak diketahui maknanya. Semua itu tercela kerana ada kemungkinan maknanya adalah kekufuran, mendekati kekufuran atau makruh.

Adapun membuat rawatan dengan ayat-ayat al-Quran dan zikir-zikir yang difahami tidaklah dilarang, bahkan merupakan amalan yang sunnah. Para ulama telah menukilkan sebagai ijma’ tentang kebolehan membuat rawatan dengan ayat-ayat al-Quran dan zikir-zikir kepada Allah SWT.”

Imam Syauqani berkata: “Bahawa harus meruqyah dengan kitab Allah SWT, dan diikuti dengan zikir dan doa-doa yang ma’thur, boleh juga doa yang tidak ma’thur selagi mana tidak bertentangan dengan yang ma’thur.” Lihat Nail al-Autar (10/440)

Kami juga berpandangan adalah perlu dan seharusnya bagi seorang yang bergelar perawat Islam adalah orang yang sahih dan betul akidahnya, baik akhlaknya, tidak melakukan dosa-dosa besar atau kecil berterusan sehingga menjatuhkan maruah sebagai seorang perawat serta tidak melakukan kesyirikan kepada Allah SWT dan tidak menjadikan khidmat rawatan Islam sebagai sumber rezeki dan seumpamanya.

Berdasarkan pandangan-pandangan ulama di atas, maka jelaslah menggunakan khidmat rawatan daripada perawat Islam hukumnya adalah harus jika sekiranya perawat Islam menggunakan bacaan jampi atau ruqyah dalam perawatannya, maka hendaklah menepati seperti apa yang telah disebutkan di atas dan tidak melanggar syarat-syarat dan prinsip-prinsip dalam perubatan ruqyah dan perbuatan alternatif Islam.

Isu yang kedua ialah berkaitan hukum meminta bantuan pertolongan daripada jin.

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili pernah ditanya: “Adakah harus meminta pertolongan dengan jin muslim? Dan apakah hukum meminta pertolongan dengan jin muslim untuk berkhidmat kepada orang Islam? Dan Apakah hukum meminta pertolongan dengan jin secara umum? Maka Syeikh menjawab: “Haram meminta pertolongan dengan jin walau dalam apa keadaannya sekalipun. Dan perkara ini adalah tercela secara syara’. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِنَ الْإِنْسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا

Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.

(Surah al-Jin: 6)

Lihat Maqalah Syeikh Dr Abdul Qader bin Muhammad al-Ghamidi bertajuk Hukm al-Isti’anah bi al-Jin fi al-Mubahat (Hukum Meminta Pertolongan Dengan Jin Dalam Perkara Yang Harus).

Sebuah institusi fatwa iaitu Lajnah Daimah ada menjawab di dalam fatwanya apabila ditanya oleh seorang lelaki berkenaan hukum meminta bantuan jin:

“Tidak boleh bagi orang itu meminta bantuan jin, dan muslim tidak boleh mendatanginya untuk mengubati pelbagai penyakit melalui perantara jin, atau (tidak boleh) untuk memenuhi permintaan lainnya dengan cara tersebut. Perawatan melalui doktor yang menggunakan ubat yang diperbolehkan merupakan usaha yang harus dilakukan dan ini selamat dari pembomohan. Dalam riwayat sahih daripada Rasulullah SAW bahawasanya beliau bersabda:   “Sesiapa mendatangi bomoh kemudian menanyakan sesuatu, maka solatnya tidak diterima selama empat puluh malam. Diriwayatkan daripada Muslim dalam kitab Sahihnya. Para perawi hadis yang empat (Abu Daud, al-Tirmizi, Nasaei dan Ibn Majah) dan Hakim -- dan yang terakhir ini mengatakan hadis ini sahih -- meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mendatangi bomoh (ahli sihir) kemudian membenarkan perkataannya, maka ia telah kufur (ingkar) terhadap apa yang telah diturunkan kepada Muhammad. Lelaki ini dan kawan-kawannya daripada kalangan bangsa jin termasuk dalam golongan tukang ramal dan bomoh, maka mereka tidak boleh diminta bantuan dan tidak boleh dipercayai ucapannya.”

Berdasarkan pandangan-pandangan ulama di atas, maka kami lebih cenderung kepada pendapat yang mengharamkan meminta pertolongan dengan jin.

Semoga dengan pencerahan ini kita dikurniakan oleh Allah SWT kefahaman dan penjagaan daripada-Nya dari segala keburukkan manusia dan selainnya. Amiin.

1 comment:

  1. KISAH CERITA AYAH SAYA SEMBUH BERKAT BANTUAN ABAH HJ MALIK IBRAHIM

    Assalamualaikum saya atas nama Rany anak dari bapak Bambang saya ingin berbagi cerita masalah penyakit yang di derita ayah saya, ayah saya sudah 5 tahun menderita penyakit aneh yang tidak masuk akal, bahkan ayah saya tidak aktif kerja selama 5 tahun gara gara penyakit yang di deritanya, singkat cerita suatu hari waktu itu saya bermain di rmh temen saya dan kebetulan saya ada waktu itu di saat proses pengobatan ibu temen saya lewat HP , percaya nda percaya subahana lah di hari itu juga mama temen saya langsung berjalan yang dulu'nya cuma duduk di kursi rodah selama 3 tahun,singkat cerita semua orang yang waktu itu menyaksikan pengobatan bapak kyai hj Malik lewat ponsel, betul betul kaget karena mama temen saya langsung berjalan setelah di sampaikan kepada hj Malik untuk berjalan,subahanallah, dan saya juga memberanikan diri meminta no hp bapak kyai hj malik, dan sesampainya saya di rmh saya juga memberanikan diri untuk menghubungi kyai hj Malik dan menyampaikan penyakit yang di derita ayah saya, dan setelah saya melakukan apa yang di perintahkan sama BPK kyai hj Malik, 1 jam kemudian Alhamdulillah bapak saya juga langsung sembuh dari penyakitnya lewat doa bapak kyai hj Malik kepada Allah subahanallah wataala ,Alhamdulillah berkat bantuan bpk ustad kyai hj Malik sekarang ayah saya sudah sembuh dari penyakit yang di deritanya selama 5 tahun, bagi saudara/i yang mau di bantu penyembuhan masalah penyakit gaib non gaib anda bisa konsultasi langsung kepada bapak kyai hj Malik no hp WA beliau 0823-5240-6469 semoga lewat bantuan beliau anda bisa terbebas dari penyakit anda. Terima kasih

    ReplyDelete